TRAINING OF TRAINER MENTOR 2016 LAHIR FASILITATOR KELAS PERTAMA

Gambar kenangan sempena perasmian penutup bengkel Training Of Trainer Mentor 2016

Rasulullah s.a.w telah bersabda : "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya”. Muslim dan kepimpinan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Setiap manusia dilahirkan sebagai pemimpin. Kepimpinan itu bukanlah hanya bererti memdominasi tampuk kepimpinan organisasi yang hebat-hebat sahaja. Namun, setiap individu bertanggungjawab memimpin dirinya kearah kebaikan seterusnya membimbing masyarakat kearah kehidupan yang diredhai Tuhan.

Para peserta merakamkan kenangan dengan Ustaz Hamadallah yang menyampaikan ceramah pada pagi tersebut

Justeru, sebagai menyahut tuntutan Islam demi melahirkan lebih ramai pemimpin Islam yang dinamik dan gemilang, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan kerjasama Nadi Thaqafah telah menganjurkan Bengkel Training of Trainer Mentor Kun Arabiyyan 2016 pada 9 April 2016 yang lalu. Program yang bertemakan “ Learn to Lead” itu melibatkan 40 orang pelajar Tahun Dua FPBU yang terpilih sebagai pelapis Mentor . Program tersebut dimulakan pada jam 8.00 pagi dan dimulakan dengan aktiviti “ice breaking” yang dikendalikan oleh fasilitator. Seterusnya, pada jam 10 pagi, para pelapis mentor telah diberikan sedikit pengisian jiwa dan minda oleh Ustaz Hamadallah , pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama mengenai ceramah yang bertajuk “ Tips-tips menjadi fasilitator kelas pertama”. Objektif program  untuk melahirkan fasilitator yang berketerampilan dan berkeyakinan tinggi dapat dilihat di mana para peserta mula berani untuk tampil kehadapan memberikan pandangan dan idea yang segar  sepanjang bengkel berlangsung.

Ustazah Nazipah Md Shaid selaku Pengarah Program turut menyampaikan amanat kepada para peserta bengkel

Majlis diakhiri dengan ucapan perasmian penutup program oleh Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi, Dr Mohammad Najib Jaffar dan juga penyampaian sijil kepada  mentor terbaik bagi program Kun Arabiyyan sesi 2015/2016 dan diiringi oleh Ustazah Nazipah Md Shaid sebagai penyelaras Program Mentor-Mentee Kun Arabiyyan.