MATA 3.0 TERUS MEMBUMIKAN BAHASA ARAB DI USIM

Nilai, 5 Mei 2016- Program Mahrajan Thaqafiy Arabiy (MATA 3.0) peringkat USIM telah dianjurkan oleh Nadi Thaqafah  Sesi 2015/2016, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan kerjasama Stracomm USIM. Penganjuran MATA kali ini adalah untuk memberikan pendedahan lebih meluas kepada pelajar USIM untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Arab menerusi penganjuran pelbagai aktiviti dan pertandingan. Selain itu, dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan mahasiswa untuk mempraktikkan ilmu Bahasa Arab di luar bilik kuliah serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang interaktif. MATA 3.0 yang bertemakan “Kebudayaan berbeza, tetapi bahasa menyatukan kita” ini telah berlangsung selama 3 hari bermula 3 hingga 5 Mei 2016 bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar (PKP) dan bangunan FPQS, USIM.

Di antara pertandingan yang dijalankan adalah “Musabaqah Qissah Qasirah” yang disertai oleh para murid dari sekolah-sekolah rendah sekitar Nilai. Selain itu, turut dianjurkan pertandingan Penyampai Radio Terbaik, Forum Al-I’jaz Al-Qura’ni, “Musabaqah Kalam Jamaie”, Musabaqah Muqaddim Barnamij At-Thohiyy”, Battle of Nasyeedian, Wacana ALUMNI USIM (WASIM) yang membincangkan tentang tajuk “Bahasa Arab, Sejauh Mana Pasarannya? Kemuncak program MATA 3.0 adalah majlis penutup yang bertempat di Dewan Kuliah Utama FPQS. Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Dekan FPBU yang berbesar hati untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan MATA 3.0. Majlis penutup ini juga diserikan oleh persembahan kumpulan nasyid popular  IN-TEAM dan kumpulan INSPIRASI dari USIM. Diharapkan agar pembudayaan bahasa Arab terus subur di peringkat USIM khususnya dan di peringkat nasional amnya.