FESBUK 3.0 GILAP BAKAT BARU

Nilai 13 Dis, - Penganjuran Festival Sukan Fakulti Pengajian Bahasa Utama 3.0 (FESBUK 3.0) edisi 2016 yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi, Nadi Thaqafah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelajar. Menurut bual bicara bersama Pengarah FESBUK 3.0, Muhamad Khairul Azrin bin Azhar, 20, beliau berkata, “objektif utama festival sukan ini, yang berlangsung selama dua hari bermula dari 10 hingga 11 Disember 2016, ialah untuk melahirkan mahasiswa yang sihat serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk berani tampil mempamerkan bakat-bakat baru atlet dalam membuat persediaan mewakili fakulti di kejohanan SUFA 2017”.

Beliau berkata lagi, “seramai 564 orang pelajar serta 68 orang urusetia yang terlibat dalam menjayakan festival sukan ini yang terdiri daripada tahun satu hingga tahun empat”.

Festival sukan ini dilaksanakan dengan membahagikan pasukan mengikut tahun dan setiap tahun perlu menghantar dua kumpulan untuk setiap acara yang dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan ialah tenis, memanah, bola jaring dan banyak lagi. Kemuncak program FESBUK 3.0 yang bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM telah dirasmikan oleh Prof. Dato Dr. Hasan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, USIM.