PERASMIAN PUSAT BAHASA DAN KEBUDAYAAN JEPUN USIM

NILAI, 2 Mac 2017 – Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM hari ini telah merasmikan Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun yang bertujuan melahirkan lebih ramai siswazah dengan kebolehpasaran pada masa depan.

 

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, pusat yang dibangunkan tahun lepas itu akan bertanggungjawab dalam penyelidikan, akademik, pembangunan pelajar, pemerkasaan sumber manusia dan juga penjenamaan.

"Kami komited untuk mengeluarkan siswazah yang mahir dalam pengetahuan 'naqli' dan 'aqli', selain menguasai pelbagai bahasa yang merupakan satu kelebihan dalam pasaran pekerjaan.

 

Turut hadir Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Prof Madya Dr Noor Azizi Ismail.

USIM juga menganjurkan karnival mini kebudayaan Jepun bulan ini sebagai memulakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia-Jepun.

 

Sementara itu, Makio dalam ucapan perasmiannya berkata beliau berbangga kerana kebudayaan dan bahasa Jepun dipilih oleh USIM untuk dipromosikan.

"Ini suatu langkah yang baik dalam memastikan pelajar USIM boleh dipasarkan di seluruh dunia," katanya.