Alumni USIM Kongsi Pengalaman Latihan Industri

//Alumni USIM Kongsi Pengalaman Latihan Industri

Oleh: Nur Alya Aida Panut (TBA 3)

NILAI, 27 Okt. – Beberapa wakil alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkongsi pengalaman ketika menjalani latihan industri (LI) dalam Program Selangkah Ke LI anjuran Biro Pembangunan Kerjaya Nadi Thaqafah, Fakulti Bahasa Arab dan Komunikasi (FPBU) bertempat di Dewan Kuliah Utama, FPQS (DKU).

“Sebelum menjalani latihan industri, perbetulkan niat dahulu, lakukan kajian berkenaan tempat yang ingin kita pergi dan yang paling penting lakukan persediaan dari segi fizikal dan mental agar tidak mengalami ‘kejutan budaya’ semasa bekerja nanti,” kata AB Adly Rabbanie bin Abdul Rahim selaku wakil alumni yang menjalani latihan di Universiti Darussalam, Gontor.

Ujarnya lagi, sebelum menjalani LI pelajar universiti hendaklah mencari inisiatif untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab dan memperbanyakan perbendaharaan kata khususnya kepada pelajar Fakulti Bahasa Arab dan Komunikasi (FPBU) kerana di sana penggunaan Bahasa Arab adalah sangat penting.

“Antara pengalaman saya semasa bekerja dengan TV Al-Hijrah ialah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program masakan Cooking With Colours sebanyak 24 episod serta berpeluang melakukan stand upper untuk berita arab semasa Pilihanraya Umum (PRU14),” kata Nurhannah Aimi binti Mohd Zaini, satu-satunya pelajar FPBU yang menjalani LI di Stesen Televisyen Al-Hijrah.

Suhaili Abu Seman selaku Pengarah Program berkata, Program Selangkah ke LI yang diadakan buat pertama kalinya ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa khususnya mahasiswa FPBU tentang latihan industri yang akan dihadapi oleh mereka.

“Program seperti ini wajar diadakan lagi agar pelajar tahu serba sedikit persediaan sebelum menjalani LI serta dapat mengetahui bagaimana cara untuk memohon jika ingin menjalani latihan industri ke luar negara,” kata Nor Farahaida binti Abd Rashid, salah seorang peserta program tersebut.

Program Selangkah ke LI ini diadakan secara terbuka kepada semua mahasiswa dari pelbagai fakulti, serta mendapat sambutan yang menggalakkan dari mahasiswa tahun tiga dan empat FPBU seterusnya mencapai jumlah sasaran peserta iaitu sebanyak 100 peserta.

2018-12-20T16:17:34+00:00