MAKeP 2019: Bukan biasa-biasa

//MAKeP 2019: Bukan biasa-biasa

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2019 (MAKeP) anjuran Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dengan kerjasama Nadi Thaqafah sesi 2018/2019 yang bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM dengan penglibatan mahasiswa/wi FPBU tampil kelainan dengan segmen berteraskan kesenian dan kebudayaan.

Memasuki edisi kedua penganjuran, MAKeP kali ini telah mengetengahkan tema Melayu Glam dengan gabungan tema kemelayuan serta diselitkan dengan ciri-ciri moden bermula dari jam 8 pagi hingga 2.30 petang. Justeru, acara dewan telah dihiasi dengan persembahan-persembahan yang berkonsepkan kemelayuan seperti dikir barat, sketsa yang telah diadaptasikan daripada cerita P. Ramlee dan banyak lagi.

Keistimewaan majlis ini adalah dengan mengetengahkan dan mengutamakan bahasa Arab dan Inggeris sahaja sepanjang majlis berlangsung. Semua persembahan dan ucapan adalah dwibahasa tanpa menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan kedua-dua bahasa ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa serta menyediakan ruang kepada mahasiswa/wi untuk berlatih berkomunikasi menggunakan bahasa yang dipelajari.

Dr Nurkhamimi bin Zainuddin dalam ucapannya berkata, “MAKEP kali ini membawa satu tema yang menarik iaitu Melayu Glam. Yang mana tema hari ini seolah-olah membawa kita kembali ke zaman 60-an dan pastinya dirindui. Walaupun majlis kita hari ini berkonsepkan kemelayuan, ianya boleh dilihat sebagai sebuah majlis yang berprestij dengan gabungan konsep moden”.

Sedikit kelainan telah disuntik ke dalam majlis ini dengan penggabungan bersama Majlis Anugerah Dekan bertujuan memberi pengiktifaran kepada mahasiswa/wi selain memberi nilai tambah serta memberikan semangat dan galakkan kepada mahasiswa/wi dalam mengharumkan nama fakulti.

Majlis ini merupakan majlis kemuncak pengiktirafan pencapaian dan sumbangan mahasiswa/wi atas kecemerlangan yang telah disumbangkan kepada fakulti. Usaha ini dilihat dapat meningkatkan semangat mahasiswa/wi dalam mencapai kejayaan meliputi aspek kurikulum dan kokurikulum.

Antara objektif majlis tersebut adalah untuk memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada mahasiswa sepanjang tahun 2019 mengikut kategori yang telah ditentukan. Seterusnya, untuk memberi galakan kepada mahasiswa lain untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada fakulti sepanjang tempoh pengajian serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan staf, alumni dan mahasiswa FPBU tahun satu hingga empat.

“Saya berharap agar kejayaan mereka dapat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang justeru dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada fakulti,” jelas Dr Nurkhamimi lagi.

Dalam majlis ini saudari Siti Hamidah binti Hashim telah dinobatkan sebagai Tokoh Akef 2019. Beliau telah dipilih berdasarkan sumbangan beliau kepada fakulti dengan memenangi Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) bagi kategori bukan penutur asal Bahasa Arab di Doha, Qatar.

Dekan FPBU ini menegaskan bahawa mahasiswa/wi perlu menjadi individu multi-lingual dengan menguasai pelbagai bahasa seperti Bahasa Jepun, Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab terutamanya.

Sebanyak 12 anugerah telah diberikan kepada mahasiswa/wi yang terpilih berdasarkan tahap pencapaian mereka samada di peringkat fakulti mahupun antarabangsa. Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Cemerlang keusahawanan, Anugerah Kesukarelawanan, Anugerah Tokoh Akef, Anugerah Mahasiswa Harapan dan beberapa anugerah lain.

“Pemenang anugerah ini telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria iaitu berdasarkan undian daripada mahasiswa/wi lain. Seterusnya 5 nama yang mendapat undian tertinggi dibawa ke peringkat fakulti untuk menentukan sama ada mereka layak atau tidak untuk menang berdasarkan undian tersebut. Tambahan lagi, mereka juga dinilai berdasarkan pencapaian akademik, sumbangan terhadap fakulti serta aktif dalam kokurikulum atau persatuan,” jelas Puan Kartini selaku penyelaras MAKeP 2019.

Majlis ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada pelbagai pihak seperti pensyarah, kakitangan pejabat serta mahasiswa/wi dimana mereka mengharapkan agar majlis seperti ini dikekalkan kemeriahannya dan dalam masa yang sama memberi sepenuh penghargaan kepada mahasiswa/wi.

Klik link berikut untuk menyaksikan video:

  1. Ali Baba Bujang Lapok: https://youtu.be/4MBzkkq2XXY
  2. Anakku Sazali: https://youtu.be/KLm_7QITcpc
  3. Apek & Siti: https://youtu.be/C4310DqaRiU

 

2019-05-10T16:26:56+00:00