Seramai 22 orang mahasiswa dan mahasiswi Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menjalankan aktiviti Global Islamic Student Outreach (GISO) di bumi Guangzhou, China pada 15 Julai hingga 21 Julai yang lalu bertemakan ‘Empowering Knowledge and Ummah in Guangzhou’.
Guangzhou merupakan antara bandaraya terpenting di China. Suku kata “Guang” bermaksud “luas”. Ibu wilayah Guangzhou juga digelar sebagai bandaraya Canton. Penduduk yang beragama Islam sekitar 22 juta muslim. Ajaran Islam pertama kali tiba di China pada sekitar tahun 615 M.
Menurut pengarah program, Naim Said berkata, “Pemilihan tema ini adalah kerana Guangzhou merupakan salah sebuah bandar di China yang mempunyai ramai penganut islam. Akan tetapi, mereka tidak diberi kebebasan untuk mempraktikkan ajaran islam kerana tekanan daripada kerajaan China sendiri.”
“Oleh yang demikian, besar harapan kedatangan mahasiswa daripada FPBU kali ini ke sana adalah agar dapat memberikan mereka semangat untuk terus bangkit dan kuat dalam mempraktikkan ajaran Islam melalui perkongsian kehidupan mereka disini”, tambahnya lagi.
Sepanjang keberadaan di bumi Guangzhou, pelbagai aktiviti dan pengisian yang berteraskan libatsama masyarakat dianjurkan oleh mahasiswa.
Dalam mengimbau kembali sejarah kedatangan Islam ke negara China, mahasiswa menjejaki Masjid Huaisheng dan Masjid Xian Xian yang lebih dikenali sebagai Masjid Saad bin Abi Waqas. Kedua- dua masjid ini menjadi pusat umat islam dari seluruh Guangzhou berkumpul untuk beribadat.
Masjid Huaisheng adalah masjid yang paling awal dibina di Guangzhou dan terdapat satu menara yang berwarna putih atau dikenali sebagai rumah api sebagai penunjuk arah kepada kapal yang belayar. Selain itu, terdapat juga sebuah tempat untuk minum air dari telaga yang dibina oleh masyarakat China pada zaman dahulu.
Sejumlah buku, kelengkapan ibadat dan juga peralatan masjid disalurkan melalui sumbangan yang telah dikumpulkan dan dibawa dari Malaysia. Barang sumbangan berbentuk rehal, telekung, sejadah, tasbih dan buku keagamaan telah disampaikan oleh mahasiswa di Masjid Huaisheng. Semoga amal jariah ini dapat membantu serba sedikit dalam memperkasakan pengetahuan dan ummah di Guangzhou, China.
Mereka juga turut bertungkus-lumus bergotong-royong untuk membersihkan dan menyusun atur seterusnya menbina perpustakaan mini di Masjid Huaisheng bagi menampung buku-buku sedia ada yang melebihi 9,000 naskhah.
Selain itu, aktiviti ‘Uniqueness of Bahasa’ iaitu mengajar pengunjung di situ berbahasa Melayu dengan menggunakan ‘flashcard’ yang dijalankan di Xian Xian Mosque. Menariknya disini juga terdapat maqam sahabat nabi, Saad Bin Abi Waqas.
Mahasiswa juga didedahkan kepada sejarah ketamadunan China yang dapat dilihat pada seni bina dan tinggalan sejarah seperti “The Five Goats” dan Tembok Besar Guangzhou di Taman Yuexiu.
Seterusnya mahasiswa menimba pengetahuan tentang kebudayaan negara China yang tidak ditelan zaman seperti di Taman Ling Nan Impression. Di sini, para mahasiswa menjalankan aktiviti yang berteraskan perkongsian ilmu serta pertukaran budaya dengan masyarakat di sana iaitu dengan memperkenalkan permainan tradisional Malaysia seperti congkak, guli, ting-ting, baling selipar dan batu Seremban.
Di samping itu, mahasiswa turut menjalankan aktiviti ‘Outfit of the Day(#ootd) iaitu menggayakan beberapa pakaian tradisi Malaysia dan memperagakan kepada masyarakat setempat di Pearl River.
Mahasiswa juga berkesempatan untuk melawat ke Perpustakaan Guangzhou yang mempunyai sistem perpustakaan terkini dan turut memberi sedikit sumbangan buku kepada perpustakaan ini di samping bertukar pendapat dan berkongsi ilmu serta idea tentang sistem pengurusan perpustakaan di USIM. Perpustakaan ini mampu menampung jumlah pengunjung yang ramai.
Di Guangzhou, mereka menggunakan basikal elektrik mesra alam untuk pergi ke mana sahaja dengan hanya mengimbas kod melalui aplikasi ‘We Chat’ pada basikal. Berbeza di Malaysia, kita menggunakan motorsikal yang mengeluarkan asap seterusnya boleh meningkatkan pencemaran udara.
Amalan berjalan kaki merupakan pergerakan utama bagi masyarakat mereka untuk ke sesuatu tempat tanpa mengira tahap usia. Amalan ini amat baik dalam meningkatkan kesihatan tubuh badan dan mengelakkan pencemaran alam semula jadi berlaku.
Walaupun mempunyai cabaran komunikasi dari segi perbezaan bahasa, namun setiap aktiviti yang dirancang berjaya dijalankan serta mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan daripada masyarakat di sana.
Di samping itu juga, mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar seperti Baiyun Leather, Beijing Lu Pedestrian, Menara Canton, Shang Xiajiu, Xiaobei Lu dan One Link International Plaza. Tempat – tempat ini menjadi tumpuan dan tarikan utama pelancong yang gemar memborong pelbagai barangan seperti barang elektronik, jam tangan, pakaian, beg, kasut, permainan kanak – kanak dan sebagainya untuk berkunjung ke Guangzhou.
Akhir sekali, kami, mahasiswa dan mahasiswi tahun 4 FPBU menaruh harapan besar agar dengan sedikit perkongsian ilmu bersama masyarakat di Guangzhou dapat memberi manfaat kepada mereka dan segala usaha ini mendapat sokongan dan diterima oleh semua golongan masyarakat di luar sana malah akan diteruskan lagi oleh generasi yang akan datang.