Misi Kemasyarakatan di Bumi Manila, Filipina

//Misi Kemasyarakatan di Bumi Manila, Filipina

Filipina, 22 Julai – 22 orang mahasiswa tahun tiga Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (SMBAK), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) telah berganding bahu dalam menjayakan Misi Kemasyarakatan di Bumi Manila, Filipina di bawah seliaan Puan Siti Salmiah Muhammad dari 15 sehingga 21 Julai, 2019.

Kali pertama Global Islamic Students Outreach (GISO) Manila diadakan adalah pada tahun 2011 dan selepas 8 tahun, GISO Manila 2019 yang diketuai oleh Fitri Amri bin Badrul Hisham dilihat sebagai satu kesinambungan usaha kemanusiaan, dakwah, dan ilmu di bumi minoriti Islam, Manila.

Usaha para sukarelawan GISO kali ini menjejaki semula tahanan-tahanan Islam wanita dan tahanan-tahanan ‘balikislam’ (saudara baru) seramai 267 orang yang telah dijatuhi hukuman di Correctional Institute of Women, Mandaluyong, Manila untuk meneruskan sokongan dan sumbangan terhadap mereka dan perkembangan dakwah yang subur di dalam tembok tahanan.

Para sukarelawan GISO turut menguatkan silaturahim dengan mengunjungi semula Institute of Islamic Studies, University of the Phillipines, Diliman di mana dekan, Prof. Macrina Morados telah menyampaikan taklimat ringkas dan membuka peluang berdialog mengenai isu-isu masyarakat Islam, keamanan dan sejarah perjuangan Bangsamoro dengan beliau.

Selain itu, para sukarelawan GISO 2019 mendekati 40 anak-anak tahfiz di Darul Ferdauz,  perkampungan Maharlika, Taguing melalui aktiviti-aktiviti permainan dan pengajaran ilmu tajweed, asas bahasa Arab serta penyampaian sumbangan berbentuk barangan dan makanan.

Para sukarelawan kemudiannya juga mengambil peluang menunaikan solat Jumaat bersama-sama penduduk tempatan , beramah mesra dengan mereka dan menyampaikan sumbangan naskah Al-Quran untuk kegunaan para jemaah di Masjid Biru, perkampungan Maharlika, Taguing.

Sukarelawan GISO kali ini turut menjejaki sebahagian daripada 400 orang tahanan-tahanan wanita Islam yang menunggu perbicaraan di penjara kem Karingal, Quezon City untuk menyampaikan bantuan dalam bentuk dakwah serta sumbangan barangan seperti Al-Quran yang sangat disambut baik serta dialu-alukan oleh pihak pengurusan penjara.

GISO kali ini lengkap dengan lawatan kebudayaan ke tempat peninggalan sejarah kota Intramuros, Fort Santiago, Rizal Park, Museum of Archeology, Salcedo Saturday Market, Manila Bay, dan lawatan membeli belah di Fort Bonifacio, Makati dan Greenhill.

Menurut Puan Siti Salmiah yang pernah menetap selama dua tahun dan menjadi sukarelawan di sana, Filipina bukan sahaja sesuai untuk program kemasyarakatan disebabkan keadaan minoriti masyarakat Islam di sana yang sangat dahagakan bimbingan agama, daif, dan disifatkan sebagai “the forgotten ones” tetapi juga kerana ia mempunyai sejarah dan kebudayaan yang sangat unik.

Tidak seperti negara-negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) lain, budaya Filipina unik kerana ia dicorakkan oleh latar belakang sejarah peradaban nusantaranya sendiri dan sangat dipengaruhi budaya Sepanyol yang menakluki Filipina selama lebih dari tiga abad, (selain daripada penjajahan Amerika Syarikat dan Jepun) yang turut mempengaruhi kedudukan Islam di negara itu.

Menelusuri kehidupan penduduk Islam di sana cukup membuatkan ahli kumpulan GISO Manila amat bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga dan masyarakat Islam yang memegang ajaran Islam sunni yang sebenar serta hidup dalam suasana kehidupan yang baik dan terjamin.

Justeru, para sukarelawan Global Islamic Students Outreach Manila GISO 2019 sangat menghargai semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung bagi menjayakan program Misi Kemasyarakatan di bumi Manila, Filipina dan mengharapkan usaha murni GISO ini dapat diteruskan oleh mahasiswa-mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia di masa-masa yang akan datang.

2019-08-01T13:09:11+00:00