NILAI, 24 Mei 2025 – Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM serta Ruknu Arabiy, Perpustakaan USIM telah menganjurkan program Constructing Arabic Sentences in an Easy Way (CASIEW) yang bertujuan mendedahkan pelajar kepada teori pembinaan ayat dan teknik pengembangannya menurut perspektif linguistik Arab.
Program yang berlangsung di Dewan Utama Ruknu Arabiy ini menyasarkan penyertaan pelajar Tahun 1 daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) serta Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).
CASIEW dirangka khusus untuk membimbing pelajar dalam mengaplikasikan teori linguistik Arab dalam pembinaan dan pengembangan ayat Bahasa Arab secara berkesan, terutamanya bagi meningkatkan kemahiran penulisan dan komunikasi pelajar dalam bahasa tersebut.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif bersama pelbagai entiti dalam USIM yang komited dalam memperkukuh penguasaan bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti dalam mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam sistem pendidikan.