Spread Love to Krabi, Thailand

//Spread Love to Krabi, Thailand

THAILAND, 14 Julai 2019 – Seramai 21 mahasiswa tahun tiga dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama tampil membantu masyarakat yang kurang berkemampuan, berkongsi ilmu pengetahuan dan silang budaya bersama pelajar-pelajar di Krabi, Thailand. Kembara GISO Thailand 2019: Spread Love to Krabi, Thailand yang diketuai oleh saudari Amirah binti Mohd Nasruddin telah berlangsung dengan jayanya selama enam hari bermula 7 Julai.

Kisah-kisah penderitaan rakyat di Syria, Palestin dan negara-negara minoriti Islam yang lain membuatkan kami selaku mahasiswa berasa sedih dan simpati. Hampir setiap hari isu kemasyarakatan global yang penuh menyayat hati terpapar di dada akhbar dan media massa. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Matlamat Global Islamic Student Outreach (GISO) ialah untuk memberi khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa, seterusnya menjadikan mahasiswa prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam seluruh dunia. Selain itu, misi GISO juga adalah untuk memberi sumbangan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

Pada 8 Julai, kami telah pergi ke Kampung Lang Da, Krabi untuk mengadakan aktiviti gotong-royong bersama penduduk di sana seperti mengecat dan membersihkan kawasan persekitaran. Pihak kami juga memberikan sumbangan kepada 16 keluarga yang kurang berkemampuan dan menyerahkan cenderahati berbentuk hamper kepada wakil penduduk kampung di sana. Sumbangan dan cenderahati ini disampaikan oleh Dr Lubna bt Abd Rahman selaku pegawai pengiring. Sumbangan adalah berbentuk barangan keperluan harian seperti minyak masak, beras, kicap, sardin dan lain-lain lagi bagi mengurangkan beban keluarga yang memerlukan.

Kami juga telah berkunjung ke Sekolah Menengah Ar-Rayyan untuk perkongsian dan pertukaran ilmu pengetahuan bersama pelajar-pelajar di sana pada hari ketiga iaitu pada 9 Julai 2019. Aktiviti yang telah diadakan seperti kuiz tentang bahasa Arab, al-Quran, bahasa Inggeris dan Khat. Selain itu, wakil dari pihak kami iaitu Muhammad Iqbal bin Mohd Shukri dan Akmal Ariffin bin Mahmud telah mempersembahkan seni silat kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Kami menyampaikan hadiah sebagai tanda kenangan kepada pelajar-pelajar terlibat.

Sementara itu, di Sekolah Anubal Wangthong kami mempersembahkan pertunjukan budaya dari Malaysia kepada pelajar-pelajar. Pertunjukan budaya yang dipersembahkan adalah seperti nasyid, Sarawak dance dan dikir barat. Dengan ini matlamat GISO kami untuk memperkenalkan budaya Malaysia serta mengeratkan lagi ukhuwah silaturahim dan hubungan yang baik Thailand-Malaysia telah tercapai.

Selain itu, turut dijalankan program kelestarian alam iaitu menanam benih pokok buah-buahan seperti pokok buah betik dan pokok buah mangga bagi menambah keserian alam semula jadi. Seterusnya, aktiviti ini juga dapat memberi manfaat kepada orang ramai supaya dapat menikmati hasil tanaman setelah tumbuh dengan subur hingga beroleh hasil yang baik.

Bimbingan rohani dan moral juga penting buat golongan Islam yang terpencil. Sebagai mahasiswa yang terdidik, kita mestilah menyertai dan menerima aktiviti kemasyarakatan dengan sikap yang terbuka dan pemikiran yang positif. Tambahan lagi, pelbagai program yang dijalankan dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa supaya mereka lebih mengenali dan mempelajari budaya, tatacara hidup sesebuah kaum dan masyarakat setempat, selain dapat menghulurkan bantuan secara langsung mahupun tidak langsung.

Sehubungan dengan itu, mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama berharap agar program seumpama ini mendapat sokongan yang baik dan diterima oleh semua golongan masyarakat di luar sana serta dapat diteruskan lagi oleh generasi seterusnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan) sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 148).

2019-08-07T14:15:11+00:00