BANDAR BARU NILAI, 14 Jun 2026 – Dalam usaha memugar semangat dan memperkukuh benteng akademik mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama (Nadi Thaqafah) telah berjaya menganjurkan Program Motivasi Perdana Pemantapan PNGK bertempat di Dewan Utama FPBU. Program berimpak tinggi yang berlangsung selama tiga hari dua malam (12 hingga 14 Jun 2026) ini dihadiri oleh lebih 35 orang mahasiswa tahun satu hingga tiga daripada pelbagai program pengajian termasuk SMBAK, SMBAKI, SMBIP, dan SMPPI. Inisiatif ini dirangka khusus sebagai strategi taktikal dan persediaan mental buat para pelajar dalam usaha melonjakkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) menjelang musim peperiksaan akhir.
Inspirasi Bersama Fedtri Yahya & Pendekatan ‘MABIT’ yang Unik
Tirai program dibuka tirainya dengan penuh bertenaga melalui Slot 1 bertajuk “Bangkit Dengan Makna: Inspirasi Bersama Fedtri Yahya”, yang dihadiri oleh lebih 100 orang. Kehadiran personaliti media tersohor, Ahmad Fedtri Yahya, selaku penceramah jemputan berjaya mencuri tumpuan para peserta. Melalui gaya penyampaian yang santai namun mendalam, beliau berkongsi formula membina daya tahan mental (mental resilience) dalam mendepani tekanan akademik, yang ternyata sangat relevan dengan cabaran generasi muda hari ini.
Uniknya, program kali ini turut menerapkan elemen perkhemahan kerohanian dan sahsiah (MABIT). Sepanjang program, para peserta berpeluang menyertai aktiviti pengukuhan spiritual seperti Qiamullail, solat subuh berjemaah, serta sesi Inner Check bagi memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kestabilan emosi.
Didik Hibur (Fun Learning) Pacu Kemahiran Insaniah
Bagi mengelakkan kebosanan, penganjur mengadunkan elemen akademik dengan aktiviti fizikal dan kecerdasan minda melalui siri Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat termasuklah Treasure Hunt, DRAW IT!, XOXO Relay, dan The Last Survivor .
Aktiviti-aktiviti interaktif ini bukan sahaja mencabar kemahiran berfikir secara kritis, malah mengasah aspek komunikasi, pengurusan masa, dan kerja berpasukan dalam kalangan peserta.
Program diakhiri dengan persembahan kreatif penuh warna-warni oleh para pelajar melalui slot ‘Citra Show: A moment to Remember’ sebelum majlis penutupan rasmi disempurnakan pada hari Ahad.
Impak Positif & Refleksi Mahasiswa
Maklum balas daripada rata-rata peserta menunjukkan impak yang sangat positif. Majoriti mahasiswa mengakui bahawa program ini telah membuka mata mereka tentang kepentingan pengurusan markah (assessment) secara strategik.
“Sebelum ini saya kurang jelas tentang kepentingan mengekalkan momentum PNGK, tetapi selepas program ini, saya pulang dengan matlamat yang lebih jelas dan strategi yang lebih kemas untuk memperbaiki gred semester ini,” ujar salah seorang peserta.
Secara keseluruhannya, Program Motivasi Perdana Pemantapan PNGK 2026 telah mencapai objektifnya dengan jayanya. Komitmen padu daripada Nadi Thaqafah serta sokongan berterusan daripada pihak fakulti membuktikan bahawa program pemantapan seperti ini amat penting untuk dianjurkan secara berkala demi melahirkan graduan FPBU yang holistik, seimbang, dan berdaya saing.